Tuesday, October 5, 2010

kisah - Sa’labah bin Hatib (2)

Sa’labah tidak memperdulikan kata-kata utusan Rasulullah. Dia masih juga tidak mahu membayar zakatnya kerana disangkanya perintah menunaikan zakat itu adalah ciptaan Rasullullah sendiri. Maka utusan Rasullullah itu keluar dari rumah Sa’labah dengan perasaan hampa. Sedangkan apabila meminta pada orang kaya yang lain, mereka (orang kaya) memberikan zakat ternakan mereka dengan senang hati. Begitulah sifat Sa’labah setiap kali utusan Rasulullah datang. Ada-ada sahaja helah dan alasan yang dikemukakannya untuk mengelakkan dari membayar zakat.


Pada masa itu, turunlah Firman Allah dan akhirnya dimaktubkan di dalam surah Al-Baqarah, ayat 75-78 yang bermaksud:

"Diantara mereka, ada yang berjanji kepad Allah. Sekiranya aku diberi rezeki yang banyak, aku akan banyak memberi sedekah, aku akan menjadi orang yang soleh. Tetapi, setelah mereka memperolehi rezeki yang berlimpah ruah lalu mereka menjadi orang yang bakhil dan berpaling dari janjinya. Akhirnya mereka ditimpa penyakit munafik pada hari di mana mereka itu kembali kepada Allah disebabkan mereka mengingkari janjinya sendiri dan disebabkan kebohongan mereka. Apakah merek tidak tahu, bahawa Allah itu Maha Mengetahui segala rahsia dan apa yang tersirat dalam hati mereka dan bahawa Allah itu mengetahui segala perkara ghaib?"

Salah seorang daripada sahabat Sa’labah yang mengetahui turunnya ayat itu segera memberitahunya.


Kata sahabat Sa’labah tersebut: "Berhati-hatilah engkau. Apakah kambing-kambingmu yang banyak itu akan engkau bawa kemati? Dahulu engkau telah berjanji kepada Allah dan bukan hanya kepada Nabi Muhammad! Sa’labah sahabatku, zakat yang diminta oleh utusan Rasulullah itu bukanlah untuk baginda dan bukan pula baginda yang mengadakan hukum zakat itu". Mendengar penjelasan sahabatnya itu, membuatkan Sa’labah menjadi sedar akan kesalahan dan keangkuhannya selama ini. Sa’labah bukan sahaja insaf, malah dia merasa takut yang amat sangat.


Tanpa berfikir panjang lagi. Sa’labah pergi kepada Rasulullah dengan membawa berpuluh-puluh ekor kambing untuk dizakatkannya. Tetapi Rasulullah hanya menggelengkan kepala sambil mengatakan bahawa baginda tidak menerima zakat itu, bahkan pintu zakat sudah tertutup bagi Sa’labah. Mendengar jawapan tersebut Sa’labah menangis sekuat-kuat hatinya. Dia memukul-mukul kepalanya seperti perbuatan orang gila.


Dengan perasaan yang amat kecewa, takut dan malu yang amat sangat. Sa’labah kembali ke rumahnya dengan membawa kambing-kambingnya itu. Dalam hatinya penuh dengan penyesalan. Usaha sa’labah hendak menyerahkan zakat ternakannya tetap gagal. Hinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Osman bin Affan iaitu selepas kewafatan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar. Beliau tetap dalam keadaan takut, kecewa dan menyesal kerana zakatnya tidak diterima lagi sedangkan ancaman Allah sudah turun yang ditujukan kepada orang-orang yang enggan membayar zakat.


Peristiwa keingkaran Sa’labah ini menjadi sebab turunnya salah satu ayat Al-Quran untuk mengingatkan manusia dan sebagai pengajaran kepada umat di akhir zaman, supaya jangan menjadi orang kaya kedekut seperti Sa’labah. Ingatlah, segala kekayaan yang dipinjamkan kepada kita di dunia adalah dari ehsan Allah. Jadi apalah salahnya kita menyalurkan pula kepada mereka yang amat memerlukannya


No comments:

Post a Comment