Thursday, October 21, 2010

Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur - the Speeches


By
:
Datin Paduka Seri Rosmah Mansor
Date
:
09/10/2010
Venue
:
PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA MELAKA (MITC)
Title
:
FESTIVAL FESYEN DMDI 2010

Bismillahirrahmanirrahim

YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam
Ketua Menteri Melaka Merangkap Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI)

YABhg. Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Abdul Rahman
Isteri YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam Selaku Penaung Festival Fesyen DMDI

Yang Berhormat Datuk Wira Haji Othman Muhammad
Speaker Dewan Undangan Negeri dan Datin Wira

Yang Berhormat Datuk Wira Omar Bin Kasih
Setiausaha Kerajaan Negeri dan Datin Wira

Yang Berbahagia Hjh Ramlah Abas
Pengerusi Bersama Festival Fesyen DMDI

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato'-Dato', Datin-Datin, Dif-Dif Kehormat

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian

Assalammualaikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

1. Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya kita telah dapat berhimpun di dewan ini untuk menyempurnakan Majlis Festival Fesyen ataupun Busana Muslim Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang julung-julung kalinya diadakan.

Kalau tidak kerana bulan
Tidak bintang terbit tinggi
Kalau tidak kerana tuan-puan
Tidak saya datang ke mari

2. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Rustam Ketua Menteri Melaka merangkap Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang mengundang saya untuk menyempurnakan perasmian Majlis Festival Fesyen DMDI ini.

3. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka dan Sekretariat DMDI di atas daya usahanya bagi menganjurkan Festival Fesyen DMDI ini. Saya mengalu-alukan usaha seperti ini kerana ianya bukan sahaja akan mencungkil busana dunia Melayu dan Islam tapi juga akan menyerlahkan lagi busana tersebut kepada dunia fesyen, di samping mengetengahkan para pereka berkenaan ke peringkat antarabangsa. Selain daripada itu, Festival ini juga akan memberi galakkan kepada penggiat industri fesyen, pengusaha-pengusaha butik serta para akademik di bidang fesyen.

Para hadirin yang dihormati sekalian

4. Saya dimaklumkan bahawa organisasi DMDI yang ditubuhkan pada tahun 2000 ini mempunyai 13 buah Negara anggota iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Kemboja, Singapura, Sri Langka, Madagascar, Afrika Selatan, Australia, United Kingdom dan China. Dari itu saya berasa bangga kerana Kerajaan Negeri Melaka dan DMDI telah mengorak langkah untuk mengadakan program Festival Fesyen DMDI ini.

5. Tema Festival Fesyen DMDI iaitu "Kesopanan Fesyen Muslim Kontemporari" (Contemporary Muslim Modesty) adalah amat bersesuaian. Saya telah dimaklumkan bahawa objektif utama Festival Fesyen DMDI ini ialah untuk membawa pereka-pereka fesyen yang ternama serta hasil rekaan mereka ke arus perkembangan fesyen busana Muslim antarabangsa. Dalam masa yang sama program ini juga di harapkan akan menjadi platform utama pertemuan antara pereka dan pengusaha fesyen DMDI untuk memperkembangkan dan mempromosi inovasi serta kreativiti ciptaan-ciptaan mereka dengan lebih meluas lagi.

6. Kita semua sedia maklum bahawa negara-negara dunia Melayu Islam terutama di Nusantara ini adalah kaya dengan khazanah warisan budaya yang indah dan unik sejak zaman berzaman. Fesyen Dunia Melayu sememangnya banyak tapi baru sahaja mula diterokai. Saya percaya gabungan idea pereka-pereka fesyen busana Muslim dari Dunia Melayu Islam ini, yang tradisional dan moden, akan dapat menghasilkan reka bentuk yang menarik, berkualiti, mempunyai nilai-nilai budaya dan tradisi Melayu Islam.

7. Di negara jiran tetangga kita Indonesia umpamanya, banyak terdapat warisan fesyen busana tradisional yang telah digabungkan dengan rekaan kontemporari yang menjurus dengan kehendak-kehendak Islam. Lihat sajalah rekaan-rekaan fesyen terkini dari Riau, Palembang, Minangkabau, Aceh, Bandung, Surabaya, Kalimantan, Sulawesi dan juga kota raya Jakarta. Tidak ketinggalan pula pereka-peraka fesyen dari negara-negara anggota DMDI yang lain seperti Filipina, Kemboja, Sri Lanka, Madagascar, Afrika Selatan dan lain-lain. Sudah pasti banyak rekaan-rekaan busana Muslim yang terkini dari negara-negara ini yang boleh di ketengahkan.

8. Di Malaysia sendiri banyak rekaan-rekaan busana Muslim tradisional dan kontemporari yang telah kian digembleng dan dipromosikan serta mendapat tempat di persada dunia. Inovasi dan kreativiti fesyen masa kini dari setiap negeri-negeri di Malaysia telah berjaya menonjolkan ciptaan-ciptaan moden yang kontemporari, penuh kesopanan dan mewarisi jati diri bangsa serta bersifat komersial.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

9. Jika dilihat dari perspektif bisnes, Fesyen Busana Muslim di peringkat antarabangsa sekarang ini sedang berkembang dengan pesatnya dan merupakan industri yang menguntungkan dengan pasaran semasa kini dianggarkan bernilai lebih USD 96 billion atau RM 302 billion setahun. Mengikut kajian French Fashion University Esmond yang terkenal di Dubai, lebih daripada separuh populasi Islam di seluruh dunia ini membelanjakan sejumlah wang yang besar dari pendapatan tahunan mereka untuk fesyen dan aksesori.

10. Mengikut statistik pula, umat Melayu Islam di dunia ini dianggarkan berjumlah 300 juta orang sementara umat Islam keseluruhan di dunia berjumlah 1.6 billion. Dari itu, ini adalah merupakan saiz pasaran yang mempunyai potensi ekonomi yang amat besar bagi dunia fesyen Islam yang masih belum di terokai seluas-luasnya.

11. Saya penuh berkeyakinan produk-produk busana Muslim dari negara-negara DMDI khususnya dari Nusantara ini merupakan pasaran yang mempunyai potensi yang menguntungkan. Walau bagaimanapun, usaha-usaha yang lebih gigih perlu dilakukan oleh pereka-pereka fesyen dan usahawan-usahawan busana Muslim di rantau ini bagi memperkembangkan lagi industri ini. Kreativiti dan inovasi adalah menjadi tunjang dalam usaha-usaha ini. Sementara teknologi moden perlu di terokai dan diadaptasi bagi penghasilan produk-produk dalam kuantiti yang banyak agar dapat menjimatkan kos dan masa tanpa menjejaskan kualitinya. Dengan pendekatan ini, produk-produk busana DMDI ini akan menjadi lebih kompetitif dan mampu berdaya saing dalam pasaran domestik dan global.

Para hadirin yang dihormati sekalian

12. Adalah jelas bahawa di peringkat antarabangsa minat terhadap fesyen busana Muslim mutakhir ini memberi isyarat perubahan dinamik dalam interaksi segar di antara budaya Timur dan Barat. Wanita Muslim juga di lihat menunjukkan minat terhadap fesyen yang "trendy" dan beraneka warna namun bersesuaian dengan nilai-nilai Islam. Kini mereka boleh membuat pilihan daripada mana-mana rekaan yang terbentang luas dan masih dapat tampil bersesuaian dengan nilai, tradisi dan cita rasa yang mengutamakan budaya keislaman.

13. Dari itu, tidaklah hairan jika pereka-pereka fesyen utama dunia kini sibuk menonjolkan bagaimana jenama utama seperti Anne Klein dan Ralph Lauren boleh mengeluarkan fesyen-fesyen yang memenuhi kehendak-kehendak Islam sepenuhnya. Sebaliknya di kalangan pereka-pereka fesyen antarabangsa, mereka menganggap fesyen busana Muslim sebagai sesuatu yang amat menyegarkan di mana fesyen tidak semata-mata perlu di tampilkan dengan secara provokatif dan mengghairahkan.

14. Adalah amat menarik untuk melihat bahawa meskipun wujud perdebatan hangat mengenai pemakaian HIJAB di Perancis, negara yang merupakan pusat utama fesyen dunia, namun demikian negara tersebut kekal menjadi pengeksport utama busana Muslim bagi pakaian ABAYA dan NIQAB. Ternyata walaupun wujud perbezaan politik, mereka yang terlibat dalam industri fesyen kini semakin menyedari bahawa perkembangan permintaan terhadap busana Muslim amat menggalakkan dan merupakan bisnes yang boleh menguntungkan.

15. Dalam konteks ini, saya berasa bangga kerana Kerajaan Negeri Melaka dan DMDI telah mengorak langkah yang tepat mengadakan program Festival Fesyen DMDI ini. Melaka sebagai Negeri Pelancongan, Bandaraya Warisan Dunia dan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam boleh menjadi pelopor menyemarakkan lagi projek yang berpotensi besar ini. Saya mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana telah membangunkan Kota Fesyen (Fashion City) di lokasi strategik berdekatan dengan MITC ini. Saya yakin di Kota Fesyen ini Pusat Fesyen DMDI dapat di kembangkan.

16. Saya selaku Penaung Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival (IFF) ingin menyarankan supaya satu kerjasama di antara DMDI dan IFF serta pereka-pereka fesyen busana Muslim yang lain di negara ini dapat di adakan bagi menerokai dan mengembangkan fesyen Dunia Melayu ini. IFF mempunyai pengalaman yang luas dan sejak tahun 2006 telah mengembangkan sayapnya dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Singapura, Dubai, Abu Dhabi, New York dan baru-baru ini di Monaco (Eropah). Saya percaya kombinasi idea pereka-pereka fesyen busana Muslim dari Dunia Melayu Dunia Islam ini, yang tradisional dan moden, akan dapat menghasilkan reka bentuk yang menarik, berkualiti, mempunyai nilai-nilai budaya dan tradisi Melayu Islam seterusnya menjadi bisnes yang berpotensi besar dan meyakinkan.

17. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini saya ingin sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri, Melaka merangkap Presiden DMDI di atas undangan untuk saya menyempurnakan perasmian Majlis Festival Fesyen DMDI ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada YABhg. Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Abd. Rahman yang menjadi Penaung Festival Fesyen DMDI ini. Saya juga mengucapkan syabas kepada pereka-pereka fesyen busana Muslim dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, dan Afrika Selatan dan China yang turut serta mengambil bahagian dalam Festival Fesyen DMDI ini. Semoga usaha-usaha yang murni ini dapat digembleng dan diteruskan demi mempertahankan dan memantapkan lagi industri warisan bangsa ini sehingga ke persada dunia.

18. Izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:

Syair seloka penghias mula
Nazam, pantun seninya indah
Negeri Melaka tempat segalanya bermula
Bangsa kita warisan sejarah

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim saya dengan ini merasmikan Festival Fesyen DMDI 2010

Sekian, Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

sources : http://www.pmo.gov.my/datinrosmah/_view_speech.php?submission_id=253

No comments:

Post a Comment